Thursday, November 19, 2020

Di sebalik nama AleyaMaira

 Alhamdulillah, hari ini Maira berkesempatan untuk duduk dan menulis kembali. Maira ingin memberi sedikit penerangan tentang asal-usul nama AleyaMaira yang digunapakai dalam penulisan blog ini. Mesti rakan-rakan yang membaca ada terfikir, kenapa Maira menggunakan nama ini, kan? Terutamanya jika anda yang membaca ini mengetahui nama sebenar Maira yang jauh berbeza dengan nama ini.

Sedikit latar belakang tentang diri Maira. Dulu Maira suka sungguh menulis sehingga pernah bercita-cita untuk menjadi seorang penulis buku bila Maira dah dewasa. Pada masa itu, Maira memilih nama AleyaMaira sebagai nama pena. Nama ini adalah nama yang Maira paling sukai melalui pembacaan novel. Jangan terkejut, Maira menamakan nama anak perempuan Maira dengan nama Aleeya. 

Aleeya Amani nama diberikan kepada anak Maira. Tak jadi hendak meletakkan nama AleyaMaira sebab Maira memilih huruf A dan A untuk setiap perkataan nama anak-anak Maira. Handsome sulung Maira pun bernama Asyraf Aryan.

Makanya, Maira pun terus menggunakan nama AleyaMaira untuk teruskan minat menulis Maira di blog. Zaman sedang belajar degree di UPM dulu, Maira sangat aktif menulis blog. Walaupun selepas berkahwin dan mempunyai anak minat ini kian pupus, Maira masih berusaha untuk kembali aktif menulis. Pada Maira, menulis ini merupakan satu terapi yang menenangkan jiwa Maira. Maira dapat melupakan segala kekusutan, kesibukan dan masalah-masalah yang menyerabutkan fikiran ketika sedang menulis. 

Masa ini, anak Maira, si comel Aleeya Amani datang tarik-tarik tangan ibunya nak susu. Macam inilah gaya si kecil tu setiap kali ibu nak bersendirian menaip dan membaca buku. dia mesti akan datang dan dicampaknya buku kat tangan ibu ni kan. Anak-anak, masing-masing mencari perhatian si ibu lagi-lagi semasa ibu tengah sibuk. Padahal, bapanya ada saja kat luar tu kan...

Maira sedang mengusahakan satu artikel tentang ilmu penyusuan. Insya-Allah, doakan Maira dapat siapkan penulisan dengan cepat ya. Okay, jumpa lagi di lain entri. Assalamualaikum.

Friday, October 30, 2020

Ringkasan Webinar The Art and Science of Breastfeeding

Assalamualaikum semua!

Pada 9 dan 10 Oktober yang lepas, Maira telah menghadiri satu webinar secara atas talian anjuran Persatuan Ibu Menyusu JB dan BCNP (Breastfeeding Counselor Networking Programme). Allahu, sungguh sukar Maira nak menggambarkan perasaan bersyukur dapat menghadiri webinar ini. 

Di sini, Maira ingin berkongsi sedikit sebanyak ilmu yang Maira perolehi daripada webinar ini. oh, ya! Lupa Maira nak inform, webinar ini adaah webinar berbayar. Maira bayar RM80 sahaja tapi ilmu yang Maira perolehi sangat-sangatlah berharga jika dibandingkan dengan jumlah yang dibayar. Jemput baca reviu Maira yang tak seberapa ni ya.

Dan Maira juga seorang Breastfeeding Peer Counselor. Maira akan usaha untuk berkongsi maklumat-maklumat dan info berkenaan dengan dunia penyusuan semampu yang mungkin bersama semua pembaca, ya!

**************************************************************************************************************************************

Sebagai seorang wanita, saya selalu menyangka proses penyusuan itu sesuatu yang akan terjadi secara semulajadi. Sebagai seorang ibu yang mempunyai dua orang anak yang menyusui susu ibu sepenuhnya, saya selalu bersangka saya tahu semua tentang ilmu penyusuan. Mesti pelik kalau saya katakan sangkaan saya salah, kan? Tapi itulah hakikat sebenarnya. Saya salah. 😌

Webinar ini membuka ruang untuk belajar secara santai kepada ibu seperti saya yang ingin mendalami ilmu penyusuan tetapi mempunyai kekangan masa sebagai seorang surirumah yang mempunyai limitasi untuk 'moving freely' ke sana dan ke mari bersama dua orang anak kecil yang 'high need'. Terima kasih kepada pihak penganjur atas peluang keemasan ini. ❤

Banyak topik yang dibincangkan membuatkan saya tergamam sekejap sebab terlalu banyak yang saya tidak tahu. Bergurukan 'encik google' bukanlah suatu proses pencarian ilmu yang mudah kerana saya sendiri tidak tahu ilmu mana satu yang patut diikuti. 

Bergurukan pakar2 hebat melalui webinar ini, saya tertarik untuk bercerita tentang D-MER (Dr. Hairin Anisa), dan topik Oral Muscle Disorder Management yang merangkumi masalah Tongue-Tie dan masalah pergigian  bayi ( Dr. Siti Norhazlin).

Apa itu D-MER (Disphoric-Milk Ejection Reflex)? Ia merupakan emosi negatif yang dialami oleh ibu sebelum berlakunya 'milk release'. Ia merangkumi perasaan gelisah, mudah rasa marah dan ibu mengalami satu keadaan yang susah untuk bertenang. Ianya berbeza dengan keadaan 'Baby Blues' dan 'Postpartum Depression' dan juga 'Postpartum Psychosis'. D-MER berlaku disebabkan oleh penurunan hormon Dopamine yang dirembeskan oleh Hypothalamus di bahagian otak ibu. Menarik, kan? Kalau nak cerita panjang lagi takkan cukuplah ruangan nak menulis di sini. 😁








Tahukah anda bahawa penyusuan susu ibu juga boleh menyebabkan masalah karies pada gigi bayi sekiranya langkah penjagaan dan pembersihan tidak dilakukan secara efektif? Sebelum ini akal cetek saya memahami bahawa susu formula sahaja yang akan menyebabkan masalah pada gigi bayi kerana kandungan gulanya yang tinggi. Susu ibu merupakan susu terbaik, mana mungkin rosakkan gigi bayi, kan? Tapi Dr Siti Norhazlin menjelaskan ilmu baru pada saya. Walau susu apa pun diminum bayi, walau makanan apa pun dimakan bayi,  ruangan mulut dan gigi bayi perlu diberi penjagaan rapi. Fakta ini merujuk kepada saranan untuk ibu mengelap gusi bayi seawal kelahiran lagi sejurus selepas setiap sesi penyusuan untuk memastikan keadaan gusi dan mulut bayi bersih bagi bersedia untuk proses pertumbuhan gigi yang sihat kelak. 







Alhamdulillah, sungguh banyak perkongsian pakar-pakar lain yang saya tak mampu nak huraikan. Terlalu 'detail' penerangan mereka. Dan jutaan terima kasih tidak saya lupakan kepada semua panel pakar yang sudi menjawab semua persoalan saya yang kadang-kala merepek. 😆😆😆

Saya berharap agar saya dapat menyertai program sebegini bersama lebih ramai pakar lain dalam bidang penyusuan susu ibu di masa hadapan. Alhamdulillah dan Syukran. 🌸

**************************************************************************************************************************************

Kalaulah ada sesiapa yang nak tahu lebih lanjut tentang topik lain yang dibincangkan atau ingin mendapatkan nasihat penyusuan boleh sahaja contact Maira melalui Facebook: Noor Shahin. Nanti Maira beri nombor, bolehlah kita teruskan sesi melalui aplikasi Whatsapp mengikut kesesuaian perbicangan, Insya-Allah. 

Jumpa lagi di entri yang lain pada masa terdekat nanti, ya! Bye, semua!



Writing by;
AleyaMaira

Sunday, October 25, 2020

Satu Permulaan.

Hai, semua! Apa khabar dunia? 

Wah, lamanya jari-jemariku bersara daripada menaip. Bukan senang untukku lupakan minat menulis yang satu ini. Kekangan masa dan tanggungjawab dunia membuatkan diriku semakin melupakan hobi yang kuturuti sepenuh hati tika muda dulu.

Ya, sekarang aku sudah semakin tua. Tua untuk segalanya. Tapi bukan untuk memupuk kembali hobi yang kucintai sejak dahulu lagi. Jadi, cukuplah tulisan sekerat ini sekadar untuk sesi 'warm up' kali pertama. Banyak lagi celoteh karanganku yang bakal menjengah pandangan kalian sebagai My Dear Mates. Moga My Dear Mates akan terus bersama denganku sebagai semangat untuk aku kembali menyemarakkan minat penulisanku. 

Salam sayang dariku,
AleyaMaira